BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Tuesday, August 10, 2010

ALAT ARTIKULASI

2.0 ALAT TUTUR ( ARTIKULASI )

Seperti mana yang kita ketahui bahawa bunyi bahasa terjadi jika udara mengalami
halangan atau hambatan pada alat-alat artikulasi. Secara terperinci bahagian-bahagian tubuh yang ikut menentukan baik secara langsung ataupun tidak langsung dalam hal terjadinya bunyi bahasa itu adalah alat artikulasi. Alat tutur ( artikulasi ) atau disebut juga artikulator yang berfungsi dalam penghasilan bunyi-bunyi bahasa terdiri daripada alat-alat yang berikut:

i. Paru-paru ( lungs ).
ii. Batang tenggorok ( trachea ).
iii. Pangkal tenggorok ( larynkx ).
iv. Pita-pita suara ( vocal cord ).
v. krikoid ( cricoid ).
vi. Tiroid ( throid ) atau halekum.
vii. Aritenoid ( arythenoids ).
viii. Dinding rongga kerongkong ( wall of pharynx ).
ix. Epiglotis ( epiglottis ).
x. Akar lidah ( root of the tongue ).
xi. Akar lidah, lidah belakang, pangkal lidah ( hump, back of tongue, dorsum ).
xii. Tengah lidah ( middle of the tongue, medium ).
xiii. Daun lidah ( blade of the tongue, lamina ).
xiv. Hujung lidah ( tip of the tongue, apex ).
xv. Anak tekak ( uvula ).
xvi. Langit-langit lembut ( soft palate, velum ).
xvii. Langit-langit keras ( hard palate, palatum ).
xviii. Gusi dalam, gusi belakang, ceruk gigi, lengkung kaki gigi alveola, ( alveolum ).
xix. Gigi atas ( upper teeth, deria ).
xx. Gigi bawah ( lower teeth, denta ).
xxi. Bibir atas ( upper lip, labia ).
xxii. Bibir bawah ( lower lip, labia ).
xxiii. mulut ( mouth ).
xxiv. Rongga mulut ( oral cavity, mouth cavity ).
xxv. Rongga hidung ( nose cavity, nasal cavity ).
xxvi.
Rajah 1 : Alat-alat yang Mengeluarkan Bunyi Bahasa Melayu








2.1 PERANAN ALAT TUTUR DALAM PENGELUARAN BUNYI BAHASA

Manusia yang dilahirkan ke dunia biasanya amat sempurna kejadiannya. Salah satu anugerah yang ada pada manusia ialah mereka dilengkapi dengan alat-alat yang berkaitan dengan penghasilan bunyi. Dalam hal ini, ia melibatkan aspek alat tutur dan peranannya dalam pengeluaran bunyi yang mana kita boleh bahagikan kepada tiga, iaitu :
1) alat bahagian dalam tubuh
2) alat artikulasi
3) daerah artikulasi

3.1. Alat Bahagian Dalam Tubuh

3.1.1. Paru-paru

Paru-paru adalah organ yang bertanggungjawab menyedut udara dan mengepam
udara keluar yang seterusnya menghasilkan bunyi-bunyi bahasa. Kebanyakan bunyi yang dihasilkan adalah proses daripada pengepaman keluar udara dari paru-paru. Kualiti bunyi yang dihasilkan bergantung pada proses pengembangan dan pengucupan paru-paru. Lazimnya, apabila kita bercakap, udara yang disedut masuk ke dalam paru-paru tidaklah sama banyak seperti kita bernafas biasa.


3.1.2 Trakea
Ia merupakan saluran udara di antara larinks dan paru-paru. Alat ini
membolehkan laluan udara dari rongga hidung dan mulut masuk paru-paru, dan keluar kembali. Udara yang keluar dari paru-paru inilah yang dimanipulasi oleh alat dan daerah artikulasi bagi menghasilkan bunyi.

3.1.3 Larinks

Organ ini pula adalah bahagian pipa mengandungi tisu yang dinamakan pita
suara. Ini adalah alat yang terlibat dalam menghasilkan semua suara.

3.1.4 Pita Suara

Organ ini terdiri daripada dua keping tisu nipis yang dipanggil pita suara. Dua
keping ini dapat dirapatkan menjadi tertutup rapat dan direnggangkan menjadi terbuka luas. Apabila pita suara ini dibiarkan terbuka luas, udara akan keluar dengan cepat. Apabila pita suara ini dirapatkan, saluran udara menyempit. Ini menyebabkan udara keluar menghasilkan bunyi seperti apabila kita melafazkan bunyi awal kata habis dalam bahasa Melayu. Manakala apabila dirapatkan hingga tertutup, iaitu sehingga tisu pita suara ini menyentuh satu sama lain, maka udara yang melaluinya menyebabkan ia bergetar.
Tinggi rendah kelangsingan bergantung pada bagaiman pita suara ini diubah suai. Ruang di antara pita-pita suara ini dinamakan glottis. Di kawasan inilah terhasilnya bunyi hentian glottis.
3.1.5 Kotak suara

Kotak suara merupakan tempat letaknya pita suara. Ia terdiri daripada beberapa
Keping tulang rawan pada bahagian luarnya. Bahagian ini juga dikenali sebagai halkum. Fungsi kotak suara boleh dipecahkan kepada dua, iaitu fungsi biologi dan fungsi bahasa. Fungsi biologinya ialah bagi melindungi paru-paru dengan menahan butir-butir makanan dan juga cecair daripada memasuki trakea. Sementara fungsi bahasa, ia menghasilkan bunyi-bunyi bahasa mengikut kedudukan posisinya yang diubah suai.

3.1.6 Epiglotis

Epiglotis ialah tisu yang terletak di belakang lidah dan di depan pintu masuk ke
larinks. Ia tidak mempunyai fungsi menghasilkan bunyi. Epiglotis hanya memberikan laluan kepada udara melalui larinks dan semua sistem pernafasan yang lain.

3.1.7 Farinks
Alat ini adalah pipa yang membentuk kerongkong yang menghubungkan larinks
dengan bahagian atas rongga tekak, anak tekak, dan rongga hidung.

3.2 Alat-alat Artikulasi

Alat artikulasi merupakan alat yang digunakan bagi menghasilkan bunyi. Alat-alat
ini adalah bibir atas dan bawah, hujung lidah, hadapan lidah, belakang lidah, gusi, batas gusi, lelangit keras, lelalangit lembut, dan pita suara. Alat ini dapat kita bahagi kepada dua, iaitu yang aktif dan pasif. Alat artikulasi aktif adalah alat yang boleh digerakkan manakala yang pasif pula adalah sebaliknya. Antara alat artikulasi aktif ialah lidah, lelangit lembut dan gigi bawah.

3.2.1 Lidah

Lidah merupakan alat yang paling aktif dalam menghasilkan bunyi bahasa. Lidah
terbahagi kepada hujung lidah, depan lidah dan belakang lidah. Hujung lidah dapat digerakkan ke depan dan ke belakang bagi menghasilkan bunyi. Depan lidah pula boleh diangkat ke atas menyentuh lelangit keras, dan belakang lidah ( akar lidah ) boleh diangkat menyentuh lelangit lembut.

3.2.2 Bibir

Bibir merupakan alat artikulasi yang terletak di bahagian luar rongga mulut yang
boleh berfungsi menyekat perjalanan udara. Ia terdiri daripada otot-otot yang kenyal yang boleh dihampar dan dibundarkan.

Apabila membunyikan bunyi [ i ] misalnya keadaannya menjadi terhampar, sebaliknya apabila membunyikan bunyi [ u ] bibir menjadi bundar. Bibir juga berfungsi dalam membuat sekatan kepada udara yang keluar daripada rongga mulut. Untuk membunyikan bunyi [ m ] misalnya, udara disekat di bibir.

3.2.3 Gigi

Gigi juga mempunyai peranan di dalam penghasilan bunyi-bunyi bahasa tetapi
peranannya tidaklah begitu aktif. Bahagian ini tidak boleh digerak-gerakkan dan fungsinya ialah menahan udara daripada terus keluar dengan bebas dari rongga mulut. Dalam penyebutan bunyi-bunyi [ ө ], [ ĵ ], [ č ] dan [ Õ ] gigi turut sama berperanan , iaitu sebagai daerah penyebutan.

3.2.4 Lelangit

Lelangit dapat dibahagi kepada dua bahagian, iaitu lelangit keras dan lelangit
lembut. Lelangit keras terletak di antara gusi dan lelangit lembut. Lelangit keras ini juga berfungsi sebagai daerah artikulasi dalam pengeluaran bunyi-bunyi. Sementara lelangit lembut pula terletak ke dalam sedikit, iaitu selepas lelangit keras dan sebelum anak tekak. Lelangit lembut boleh diturunnaikkan. Apabila ia diturunkan, rongga mulut akan tertutup dan udara akan keluar melalui rongga hidung. Dengan demikian alat ini amat penting untuk menentukan sama ada bunyi yang dikeluarkan itu bunyi sengau atau tidak.
Apabila lelangit lembut diturunkan, bunyi yang keluar adalah bunyi sengau dan kalau dinaikkan bunyi yang keluar bukanlah bunyi sengau.

3.2.5 Gusi

Gusi adalah alat pertuturan yang letaknya di antara gigi dan lelangit keras.
Keadaannya cembung dan ia berfungsi sebagai daerah artikulasi, iaitu daerah penyebutan. Gusi berperanan dalam pengeluaran bunyi-bunyi seperti [ t ], [ d ], [ l ] dan sebagainya dengan bantuan hujung lidah yang berfungsi membuat penyekatan.

3.2.6 Rongga

Sebagaimana yang dapat digambarkan oleh gambarajah, rongga terbahagi kepada
tiga, iaitu rongga mulut, rongga hidung dan rongga tekak. Rongga merupakan bahagian lapang yang menjadi tempat lalunya udara yang keluar dari paru-paru. Rongga tekak bermula daripada bahagian di sebelah atas selepas pita suara hinggalah ke bahagian anak tekak.

Rongga mulut pula bermula dari ruang di hadapan belakang lidah membawa kepada bahagian bibir ( sebelah dalam ) sementara rongga hidung bermula dari bahagian di belakang anak tekak hinggalah ke hidung. Rongga tekak dan rongga hidung boleh di buka atau ditutup, bergantung kepada keadaan sama ada anak tekak dan lelangit lembut dinaikkan ataupun diturunkan.



3.2.7 Rahang

Rahang tidaklah begitu memainkan peranan yang teramat penting di dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa . Walau bagaimanapun kedudukannya adalah penting di dalam pembunyian bunyi-bunyi vokal. Keadaan buka di antara kedua rahang ( rahang atas dan rahang bawah ) adalah sempit sewaktu membunyikan vokal-vokal [ i ] dan [ u ] dan terbuka luas sewaktu membunyikan vokal [ a ] dan [ э ].

3.3 Daerah Artikulasi

Daerah artikulasi ialah kawasan tempat sentuhan alat artikulasi semasa
menghasilkan sesuatu bunyi. Pelbagai bunyi bahasa dapat dihasilkan apabila daerah sebutan dan alat sebutan dimanipulasi. Alat artikulasi yang sama menghasilkan bunyi bahasa yang berlainan apabila menyentuh daerah artikulasi yang berlainan.

Penamaan bunyi-bunyi bahasa adalah berdasarkan kepada cara sesuatu bunyi itu dihasilkan. Ini melibatkan alat dan daerah yang disentuh oleh alat artikulasi tersebut. Sebagai contoh, jika hujung lidah menyentuh bahagian belakang atas gusi dan lelangit lembut pula menyentuh rongga belakang tekak, maka bunyi yang dihasilkan adalah bunyi [ t ]. Bunyi ini dilabelkan sebagai letupan gusi tak bersuara kerana udara yang tersekat di belakang lidah dilepaskan secara serta-merta dengan tidak menggetarkan pita suara. Dalam hal ini pita suara menentukan sama ada bunyi yang dihasilkan itu diklasifikasikan sebagai bersuara ataupun sebaliknya.
Jikalau pita suara bergetar maka bunyi yang dirujuk itu dikatakan bersuara sebaliknya pula jika tidak bergetar maka bunyi yang dihasilkan itu dinamakan sebagai tak bersuara.

Apabila pada masa menghasilkan sesuatu bunyi itu terasa getaran yang berlaku, maka bunyi tersebut diklasifikasikan sebagai bunyi bersuara. Selain itu, cara lain yang boleh dilakukan ialah meletakkan jari di dalam telinga, kemudian lafazkan bunyi bersuara, maka yang akan kedengaran nanti adalah bunyi berdesir, atau dalam bahasa Inggeris dikatakan hissing dan buzzing. Ini menunjukkan bahawa pita suara sedang bergetar.

4.0 Pengeluaran Bunyi Bahasa Melayu Dan Peranan Alat Tutur

Setelah membuat kajian penulis kertas kerja ini mendapati terdapat enam alat tutur penting di dalam penghasilan bunyi bahasa iaitu paru-paru, larings, farings, epiglotis, rongga hidung dan rongga mulut. Berikut dihuraikan organ-organ atau alat tutur bagi penghasilan bunyi bahasa terutamanya bahasa Melayu dan peranananya dalam pengeluaran bunyi bahasa tersebut Melayu.

No comments:

Post a Comment