1.0 PENGENALAN
1.1 Apakah itu Sosiolinguistik?
Menurut Janet Holmes, ahli-ahli sosiolinguistik berminat untuk mengkaji bahasa dalam hubungannya dengan masyarakat, bagaimana bahasa berbeza, termasuk juga fungsi bahasa dan bagaimana bahasa digunakan untuk menyampaikan maksud-maksud sosial menerusi komunikasi. Dalam pada itu terdapat ramai tokoh sosiolinguistik yang terlibat sama dalam menakrifkan sebagai “sosiolinguistik”, termasuk tokoh-tokoh seperti Appel, Nikolas Coupland dan Adam Jaworski, Dell Hymes, Joshua Fishman, Nababan, Hari, Urti Kridalaksana, Cripper dan Widdowson serta yang tidak dapat dinyatakan di sini. Sosiolinguistik, berasal daripada gabungan perkataan sosio & linguistik, menunjukkan bahawa bidang ilmu ini adalah perpaduan sosiologi dengan linguistik. Ada pula yang menyebutnya sebagai linguistics plus. Kita boleh mengatakan sosiolinguistik adalah ilmu interdisiplineri yang membincangkan dan menyusun teori-teori tentang perhubungan masyarakat dan bahasa.Kita mudah dapat menyemak bahawa perbahasan pokok dalam ilmu ini adalah masyarakat dan bahasa.
Sosiolinguistik ialah merupakan satu kajian tentang bahasa dan hubungannya dengan masyarakat.
1.2 Kepelbagaian Bahasa.
Kepelbagaian bahasa membawa pengertian bermacam-macam jenis bahasa. Kepelbagai bahasa ini juga turut dikenali sebagai kelainan bahasa. Kepelbagaian bahasa ini merangkumi sama ada besar atau kecil, tinggi atau rendah, dan termasuklah juga aspek dialek-dialek.
Kepelbagaian bahasa ini sebenarnya boleh kita katogerikan kepada dua kelompok bahasa yang besar iaitu seperti berikut:
1.2.1 Bahasa Inklusif
Bahasa Inklusif adalah merupakan bahasa yang diletakkan di atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada. Bahasa ini sebenarnya memiliki sifat dan ciri sangat tinggi dan unggul. Di samping itu juga ianya diletakkan di atas serta dalam masa yang sama mengatasi bahasa-bahasa lain. Boleh juga kita simpulkan sebagai bahasa sedia ada dituturkan oleh sekumpulan masyarakat tertentu. Misalnya adalah seperti berikut; Bahasa Kebangsaan , Bahasa Rasmi , Lingua Franca, Bahasa Pijin, Bahasa Kreol dan Bahasa Koine
1.1.2 Bahasa Eksklusif
Bahasa Eksklusif pula ialah bahasa yang tidak diletakkan di atas bahasa lain. Akan tetapi bahasa jenis ini sebenarnya ianya memiliki bentuk yang tersendiri, terbatas dan serba unik. Di samping itu bahasa ini turut diajar kepada para penutur yang terbatas dalam kelompok dalaman mereka. Pembatasan ini sama ada dari segi daerah, kumpulan, kelas atau kelompok. Dengan kata lain, Bahasa Eksklusif ini dapatlah kita definisikan sebagai sejenis bahasa yang diguna pakai dalam kelompok tertentu, termasuklah kelompok sepekerjaan, puak, subetnik, gerombolan dan sebagainya. Namun penggunaannya agak terbatas. Sehubungan itu, bolehlah kita katogerikan Bahasa Eksklusif ini kepada beberapa jenis seperti berikut;
Ø Bahasa Purba
Ø Bahasa Slanga
Ø Bahasa Argot
Ø Bahasa Khusus
Ø Bahasa Rahsia
Ø Dialek Pijin
2.0 BEBERAPA KATOGERI BAHASA INKLUSIF
2.1 Bahasa Rasmi
Bahasa Rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam pentadbiran dan segala urusan rasmi. Ini termasuklah dalam sebaran am (media massa), surat-surat rasmi kerajaan seperti borang permohonan, dokumen peribadi yang merangkumi surat beranak, kad pengenalan, minit mesyuarat, urusan pos dan sebagainya. Dalam sesebuah negara boleh menggunakan lebih daripada satu bahasa rasmi. Cuma di negara kita Malaysia sahaja menggunakan satu jenis bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu. Misalnya di negara Brunei Darussalam menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Berikut beberapa contoh penggunaan bahasa rasmi untuk negara tertentu;
Ø Thailand (Bahasa Thai)
Ø Indonesia (Bahasa Indonesia)
Ø Switzerland (Bahasa Perancis, Jerman, Itali, Romansch)
Ø India di peringkat kebangsaan (Bahasa Hindi, Inggeris) tetapi lebih 14 bahasa rasmi di peringkat negeri
Ø Singapura (Bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu, Tamil)
2.2 Bahasa Kebangsaan
Bahasa Kebangsaan adalah merupakan bahasa rasmi, bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar sesebuah negara. Bahasa ini juga kerap digunakan di arena media massa sama ada elektonik mahupun cetak. Di negara kita, kesemua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan di samping menggunakan lain. Bahasa Kebangsaan ini juga turut digunakan di dalam sistem pemerintahan negara, parlimen, majlis konvokesyen dan menjadi bahasa pengantar di seluruh sekolah kebangsaan di negara kita. Bahasa Kebangsaan ini sudah tentu menjadi kemegahan dan kebanggaan bagi sesebuah negara. Kemegahan dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan ini tercetus atas sebab faktor-faktor berikut;
· Penutur bahasa bersikap positif terhadap bahasa berkenaan
· Ketaatan bahasa terutama di kalangan para nasionalisme
· Bahasa menggambarkan kemerdekaan dan kedaulatan negara
· Menjadi indentiti bagi sesebuah negara
· Memiliki sejarah kegemilangan
· Menjadi bahasa peribumi
· Menjadi bahasa lingua franca
· Ramai mengetahui dan boleh menutur bahasa tersebut
· Bahasa yang berkemampuan
2.3 Lingua Franca
Hartmann dan Stork, 1976 menyatakan Lingua Franca sebagai bahasa yang terdapat di dalam kawasan pertembungan bahasa yang intensif. Di samping itu bahasa ini digunakan oleh para penutur bahasa yang terdiri daripada pelbagai komuniti bahasa sebagai bahasa perantara sepunya semasa berkomunikasi. Perkataan‘lingua’ itu membawa maksud bahasa manakala ‘franca’bermaksud Frank, iaitu merupakan nama salah sebuah negara bangsa di Eropah Barat pada ketika itu. Manakala istilah lingua franca ini timbul ekoran daripada peperanagan Salib antara pasukan Tentera Kristian dari Eropah dengan para Tentera Islam di Asia Barat yang ketika itu menguasai tanah-tanah suci di Palestine terutamanya di Jerusalem. Sehubungan itu, pasukan Tentera Kristian telah menggunakan Bahasa Lingua Franca sebagai bahasa perantara di kalangan mereka. Namun sekarang pengertiannya bukan sahaja terbatas kepada pengertian seperti huraian di atas, malahan di dunia sekarang banyak terdapat bahasa lingua franca. Berikut merupakan beberapa contoh bahasa lingua franca;
· Asia Tenggara (Bahasa Melayu sebagai lingua franca)
· Afrika Timur & Tengah (Bahasa Swahili sebagai lingua franca)
· India (Bahasa Hindi sebagai lingua franca)
· Amerika Tengah & Selatan (Bahasa Sepanyol sebagai lingua franca) kecuali Brazil
2.4 Bahasa Pijin
Bahasa Pijin ialah bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa. Manakala bahasa yang terbentuk tidak boleh diklasifikasikan kepada salah satu bahasa asal. Bahasa Pijin mempunyai formulanya yang tersendiri, iaitu seperti berikut;
A + B = C
Apabila bahasa A bercampur dengan bahasa B, maka akan terbentuk bahasa C. Tetapi bahasa C itu tidak boleh dikatogerikan sebagai bahasa A atau bahasa B. Sebenarnya bahasa pijin ini hanya bersifat sementara kerana ianya tidak mempunyai penutur aslinya. Ini terjadi disebabkan oleh kepentingan perdagangan dalam kalangan penutur bahasa lain yang bertembung di tempat tertentu seperti ketika berada di pasar, pusat perdagangan dan sebagainya. Semasa berkomunikasi lahirlah percampuran bahasa tadi dan sama sekali tidak menguasai sebarang bahasa komuniti lain. Dengan hal yang demikian wujudlah bahasa campuran (pijin). Di Malaysia, bahasa pasar dikatogerikan sebagai bahasa pijin yang sering digunakan di pasar semasa membeli ikan, sayur-sayuran dan sebagainya.
2.5 Bahasa Kreol
Bahasa Kreol merupakan bahasa pijin yang telah menjadi bahasa pertama atau juga dikenali sebagai bahasa ibunda. Bahasa kreol ini wujud akibat percampuran antara bahasa penjajah dengan bahasa peribumi. Berikut merupakan beberapa contoh;
*Kreol Perancis di Haiti *Kreol Inggeris di Hong Kong
*Kreol Portugis di Macau dan Melaka *Kreol Cina Baba di Melaka
*Kreol Betwai di Jakarta *Kreol Osing di Jawa Timur
Bahasa jenis ini kadang-kadang menerima proses berbalik kepada bahasa asal, iaitu ketika ia meninggalkan unsur-unsur dari salah satu bahasa campuran tadi bagi mewujudkan bahasa asal yang sempurna serta baku. Misalnya di Papua Niugini ada terdapat bahasa Neo-Melanesia, iaitu terbentuk campuran bahasa Inggeris dengan bahasa peribumi. Namun hari ini keadaannya berubah, di sekolah murid-murid mula belajar bahasa Inggeris yang asli, sempurna dan baku. Kesannya murid-murid tadi akan meninggalkan bahasa campuran mereka tadi, kemudian ke arah bahasa Inggeris yang standard atau baku melalui tiga proses seperti berikut:
· Basilek (kreol asli)
· Mesolek (kembali kepada asal)
· Akrolek (kelainan yang wujud)
2.6 Bahasa Koine
Bahasa Koine sama dengan bahasa lingua franca. Bahasa jenis ini digunakan oleh semua orang dalam satu-satu daerah atau wilayah tertentu. Boleh kita katakan bahasa ini ialah dialek yang menjadi bahasa standard dikongsi milik oleh daerah-daerah secara politik dalam satu kesatuan. Misalnya bahasa Arab, di seluruh daerah Arab terdapat dialek-dialek Arab yang berbeza antara satu sama yang lain. Contoh jenis-jenis dialek setempat ialah seperti berikut;
Oman, Kuwait, Iraq, Syria, Jordan,
Yemen, Saudi, Mesir, Sudan, Libya,
Tunisia, Aljeris, Maghribi, Mauritania,
Lebanon, Amiriah Arab Bersatu
Walaupun di negara Arab mempunyai pelbagai dialek Arab, namun bukan semua mereka memahami dialek-dialek berkenaan. Namun dengan kewujudan Al-Quran, maka mereka dapat mengatasi masalah tersebut. Bahasa Arab Al-Quran atau Arab Klasik adalah bahasa sepunya yang digunakan oleh orang Arab di dalam dunia Arab. Bahasa Arab ini juga dikenali sebagai Bahasa Koine.
3.0 BEBERAPA KATOGERI BAHASA EKSKLUSIF
3.1 Bahasa Purba
Bahasa Purba juga dikenali sebagai bahasa arkaik. Bahasa ini adalah bahasa yang kuno dan telah mati serta tidak berkembang lagi. Contohnya bahasa agama Sanskrit telah mati sejak abad ke-2 Masihi. Bahasa ini juga telah digunakan untuk kitab-kitab suci agama Hindu seperti Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda dan Atherva Veda. Namun bahasa ini diajar secara tertutup dan terbatas. Contoh lain bahasa purba ialah bahasa Latin yang digunakan oleh penganut agama katolik pada masa dahulu dan yang terakhir ialah bahasa Kawi iaitu bahasa Jawa Kuno yang telah mati.
3.2 Bahasa Slanga
Bahasa Slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan cepat berubah. Bahasa jenis ini sering diguna pakai oleh kumpulan rock, pelajar universiti dan golongan profesional semasa berkomunikasi bagi mengelak daripada diketahu oleh kumpulan komuniti bahasa yang lain.Walapun kata-kata jenis ini muncul dengan tiba-tiba, namun ianya mudah hilang dengan cepat. Perkataan bahasa ini dicipta daripada bahasa dialek atau kaum tertentu termasuklah penjajah.
3.3 Bahasa Argot
Bahasa Argot juga dikenali dengan nama cant dan lingo. Ianya adalah suatu jargon yang khusus bersifat setempat, kumpulan sosial dan kumpulan rakan sejawat, terutama sekali di kalangan golongan masyarakat kelas bawahan.
3.4 Bahasa Khusus
Bahasa Khusus adalah suatu bahasa khas. Bahasa jenis ini sering digunakan oleh golongan profesional termasuk juruterbang dan sebagainya. Oleh kerana bahasa jenis ini terlalu khusus, maka sukar untuk difahami serta diketahui oleh orang lain selain daripada penggunanya sendiri.
3.5 Bahasa Rahsia
Bahasa Rahsia adalah sejenis bahasa yang dicipta untuk tujuan perisikan, pengedaran dadah, narkotik dan sebagainya. Di negara kita pihak polis dan tentera ada menggunakan bahasa rahsia dalam menjalan tugas seharian mereka.
3.6 Dialek
Dialek ialah satu kelainan bahasa yang berbeza dari segi sifat sebutan, kosa kata daripada bahasa baku dan tatabahasa. Bahasa ini juga bersifat geografis atau bersifat subbahasa. Misalnya bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia dan dialek-dialek bahasa cina. Dialek adalah bersifat saling memahami, namun tidak semestinya, seperti dialek bahasa cina. Dialek boleh dipecahkan kepada tiga bahagian;
· Dialek sosial (Bahasa Jawa)
· Dialek daerah (Dialek Utara, Kelantan, Negeri Sembilan)
· Dialek seketika (Dialek zaman, seperti Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik, Bahasa Melayu moden dan sebagainya)
Manakala berikut dinyatakan beberapa sebab mengapa timbulnya dialek tesebut. Antaranya adalah seperti berikut;
· Pengalaman yang berlainan
· Pengaruh luar yang berlainan (Pengaruh Bahasa Inggeris kepada dialek Johor-Riau dan Belanda ke atas bahasa Indonesia)
· Terpisah dari segi tempat (Kedah dan Kelantan)
· Terpisah dari segi zaman (Bahasa Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan)
4.0 KESIMPULAN
Umum menyedari di dunia kita terdapat kepelbagaian bahasa. Di mana-mana sahaja masyarakat, sudah pasti adanya bahasa yang tersendiri. Sebenarnya bahasa itu mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat. Ini disebabkan bahasa adalah suatu alat penting untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Kepelbagai bahasa ini tidak mengira besar atau kecil, tinggi atau rendah serta dialek-dialek tertentu. Sebenarnya bahasa itu sendiri terdiri daripada dua katogeri, termasuklah bahasa Inklusif dan bahasa Eksklusif. Bahasa Inklusif terdiri daripada Bahasa Kebangsaan, Rasmi, Lingua Franca, Pidgin, Kreol dan Koine. Manakala bahasa Eksklusif pula merangkumi bahasa Purba, Slanga, Argot, Khusus, Rahsia dan Dialek.